Syarat Sah Solat
1. Suci daripada hadas besar dan kecil , sabda nabi yang bermaksud tiada diterima Allah solat seseorang kamu apabila berhadas hingga ia berwuduk begitu juga tawaf, tidak sah jika tiada berwuduk.
2. Suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang kerana najis itu menegah daripada sah sembahyang dan tawaf.
3. Menutup warna aurat (warna aurat bermaksud - berpakaian yang jelas menutup aurat bukan pakaian yang nipis, bukan pakaian yang ketat yang menampakkan bentuk badan). Aurat bermakna anggota yang wajib ditutup. Jika dalam sembahyang dan tawaf bagi perempuan seluruh badan melainkan muka dan dua pergelangan tangan. Aurat lelaki antara pusat dan lututnya. Aurat di luar sembahyang bagi perempuan seluruh badan, oleh kerana di dalam ihram tidak boleh menutup muka dan dua tapak tangan maka wajiblah dibuka keduanya. Aurat perempuan kepada lelaki yang haram nikah contohnya adik beradik, bapa dll. dan aurat sesama perempuan, antara pusat dan lutut TETAPI sebagai menjaga adab dan kehormatan, eloklah berpakaian yang beradab sopan. Aurat lelaki di luar sembahyang kepada sesama lelaki atau perempuan yang haram nikah contohnya ibu, kakak dll. antara pusat dan lututnya dan aurat pada perempuan yang halal nikah seluruh badannya. Aurat perempuan Islam di depan perempuan kafir ialah seperti aurat di dalam solat.
4. Tahu masuk waktu dengan yakin. Tidak sah solat jika tidak tahu masuk waktu, walaupun betul waktunya.
5. Menghadap kiblat dengan dada jika solat berdiri atau duduk. Jika solat menelentang dengan muka dan kakinya sekali.
***********************************************************************************
Diharuskan tidak menghadap kiblat dengan salah satu daripada 3 sebab :
1. Kerana sangat takut di dalam peperangan dengan serangan musuh atau binatang buas.
2. Pada solat sunat dalam musafir jika berkenderaan hendaklah menghadap kiblat pada takbiratul ihram jika mudah.
3. Dalam masa uzur, gelap atau tiada tahu arah kiblat atau sukar menghadap kiblat.
***********************************************************************************
6. Syarat-syarat sah sembahyang itu tahu rukun-rukun sembahyang, tiada sah jika rukun diiktikadkan sunat.
Dipetik daripada : Kitab susunan ustaz Hj. Ahmad bin Mohd. Ali


