Paksi Kebangkitan Perjuangan

...Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur sesungguhnya azabku amat dahsyat. Surah Ibrahim : 7

Tuesday, April 18, 2006

Adab-adab Sebelum Makan

1. Makanan yang akan dijadikan penguat tubuh hendaklah merupakan benda yang halal, sesuai dengan sunnah Rasulullah. Seseorang yang warak (amat takut kepada Allah) sama sekali tidak suka bekerja dan melakukan perkara yang dimakruhkan menurut syariat, tidak pula dengan dorongan hawa nafsu atau penipuan dalam urusan agama. Allah taala telah memerintahkan agar makanan itu diambil daripada benda-benda yang thayyib, ertinya yang halal hukumnya, halal bendanya dan halal cara memperolehinya. Bahkan dalam satu ayat, Allah Taala mendahulukan laranganNya dalam memakan apa-apa yang batil dari laranganNya tentang membunuh. Maksudnya besarnya kesan pada makanan yang haram dan betapa besarnya keberkatan pada makanan yang halal.
2. Membasuh tangan. Membasuhnya adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian.
3. Hendaklah berniat dengan makan itu akan menguatkan dirinya dan tetapkan dirinya dalam amalan ibadat dan ketaatan kepada Allah. Tanda bagi orang yang makan semata-mata sebagai penguat ibadat itu ialah ia makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
4. Hendaklah ia rela dan merasa cukup dengan apa yang dihidangkan di hadapannya dan tidak mencari-cari apa yang tidak ada di depannya.
5. Sebaik-baiknya hendaklah ia bersungguh-sungguh agar dapat makan bersama ramai orang, sama ada ahli keluarga , rakan-rakan dan sebagainya kerana sebaik-baik makanan dan banyak keberkatannya ialah makan bersama-sama. Rasulullah sendiri tidak pernah makan berseorangan.
Dipetik daripada Kitab Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin -ringkasan dari Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali.

Monday, April 03, 2006

Waktu-waktu Yang Diharamkan Solat


Waktu-waktu yang diharamkan solat padanya ada 5 iaitu sesudah asar, sesudah subuh, waktu matahari tegak, terbit dan terbenam. Waktu-waktu itu diharamkan untuk solat yang tiada bersebab. Adapun solat-solat yang bersebab seperti mengqada solat sunat rawatib, gerhana atau solat jenazah, maka tidaklah diharamkan.
Adapun rahsia larangan itu ialah untuk menjaga agar tidak menyamai perbuatan penyembah matahari yang mungkin akan menimbulkan penarik atau kegiatan ke arah itu. Jadi dengan membiarkan waktu-waktu yang tersebut di atas itu ialah sebagai perhatian serta perintah untuk menunggu sehingga habisnya waktu-waktu tadi.
*Mengqada solat sunat
Diriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w pernah bersolat dua rakaat sesudah asar, lalu baginda s.a.w ditanya: "bukankah tuan melarang kami bersolat di waktu ini?" Lalu baginda s.a.w memberikan jawapan:
"Dua rakaat yang saya solat itu tadi sepatutnya saya lakukan sesudah zuhur, tetapi saya sibuk kerana ada utusan yang datang".
Oleh sebab itu sesiapa yang mempunyai ketentuan wirid lalu kerana sesuatu keuzuran ia meninggalkannya, hendaklah jangan memberi keringanan pada dirinya untuk terus meninggalkannya, tetapi hendaklah diganti pada waktu lain, sehingga dirinya tidak terbiasa melalaikannya, meninggalkannya atau meringan-ringankan ibadah. Menggantikannya adalah yang paling baik dengan tujuan untuk mengiatkan diri sendiri dan agar gemar menetapkan serta meneruskan secara tertib dan istiqamah dalam mengamalkannya.
Dipetik daripada kitab bimbingan untuk mencapai tingkat mukmin ringkasan dari IHYA' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali.
 
Free Web Counter
Free Hit Counter