Paksi Kebangkitan Perjuangan

...Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur sesungguhnya azabku amat dahsyat. Surah Ibrahim : 7

Monday, July 16, 2007

Iktibar

Menuju Keredaan Allah

IKTIBAR DARI KEJADIAN TSUNAMI

MALAPETAKA ombak besar yang dikenali sebagai 'Tsunami' yang terbentuk daripada gempa berukuran 8.9 pada skala Richter yang terjadi pada penghujung tahun 2004 tersebut telah mengakibatkan beribu-ribu lagi hilang dan terbunuh di kawasan pantai barat Asia serta kemusnahan teruk di bandar serta pulau peranginan di Malaysia, Thailand, Sri Lanka, India dan Myanmar serta di Sumatera. Ombak besar setinggi hingga enam meter menerjah pesisiran pantai negara-negara terlibat juga mendatangkan mala petaka adalah merupakan yang kelima terbesar sejak tahun 1900. Baru-baru ini terjadi lagi kejadian Tsunami yang melanda di Jawa Barat Indonesia yang mengorbankan beratus-ratus jiwa pada bulan Julai 2006 yang lepas.

Bencana atau musibah pada hakikatnya adalah keadaan yang tidak diinginkan dan tidak dikehendaki oleh manusia, sebab bencana yang berupa penderitaan atau kesengsaraan adalah merupakan keadaan yang tidak menyenangkan bahkan menyusahkan bagi manusia seperti berlakunya gempa dan gelombang Tsunami yang membuat manusia porak-peranda, anak terpisah daripada ibunya, suami berpisah dari isterinya, ada yang mati dan hilang tidak tahu ke mana dan di mana jenazahnya, ratusan ribu nyawa yang hilang dan ratusan rumah, kedai dan lain-lain hancur ditelan gelombang Tsunami.

Pastinya bencana Tsunami mengingatkan kita kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alaihissalam. Dengan jumlah kematian yang begitu besar (mencecah lebih 150,000 orang), mungkin ia menyamai jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman alaihissalam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan kisah tentang pernah berlakunya banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.

Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alaihissalam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah Subhanahu Wata'ala mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah Al-Haqqah ayat 11 - 12 yang tafsirnya:

"Sesungguhnya Kami, ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran."

Jika kita amat-amati peristiwa yang terjadi di zaman Nabi Nuh Alaihissalam itu, tidak jauh bezanya dengan bencana Tsunami 26 Disember 2004 yang lalu. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah Subhanahu Wata'ala datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan Lautan Hindi, tidak segenap pelusuk bumi.

Firman Allah dalam Surah Huud ayat 40 - 41 yang tafsirnya:

"(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh Al-Qur'an sebagai 'at-Tannur'. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau 'oven' yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala lagi dalam Surah Al-Hadiid ayat 22 - 23 yang tafsirnya:

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Justeru itu, yang menjadi penyebab utama bencana di muka bumi ini sebenarnya adalah disebabkan oleh manusia itu sendiri, bukannya jin, haiwan dan bukan pula makhluk-makhluk lain. Antara perbuatan-perbuatan yang menyebabkan bencana diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala ialah:

PERBUATAN FASIQ

Menurut para ahli tafsir, fasiq adalah orang yang melakukan dosa besar dalam konteks tertentu adalah menunjukkan ketidakpatuhan terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah. Perbuatan fasiq adalah merupakan salah satu sebab turunnya bencana di muka bumi ini. Perkara-perkara yang tergolong dalam perbuatan fasiq ialah seperti meminum khamar (arak), kerana minum khamar atau arak adalah satu perbuatan yang dilarang oleh Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 219 yang tafsirnya:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi . Katakanlah: "Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya". Dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah : "(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)." Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya (keterangan-keterangan hukum-Nya supaya kamu berfikir."

PERBUATAN ZINA

Zina adalah termasuk dari perbuatan keji dan dosa besar dalam Islam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Israa' ayat 32 yang tafsirnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

KEZALIMAN YANG BERMAHARAJALELA

Perbuatan zalim yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini ternyata merupakan salah satu sebab diturunkan-Nya bencana atau musibah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 31 yang tafsirnya: "Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar."

Kita dapat melihat bagaimana Allah Subhanahu Wata'ala menghancurkan umat-umat terdahulu yang berbuat kezaliman seperti Firaun, Qarun, kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Luth dan sebagainya.

Kesimpulannya, setiap musibah atau bencana yang berlaku mempunyai berbagai-bagai tujuan yang berkaitan dengan perbuatan manusia itu sendiri. Begitu juga ujian yang Allah berikan kepada orang-orang yang beriman seperti kejadian Tsunami. Bagi orang yang beriman dan masih hidup serta melihat langsung kejadian Tsunami mungkin jadi pengajaran baginya seumur hidup untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, kerana mati abila-bila masa akan datang dan kita mesti bersiap bila-bila masa. Bagi yang sudah mati disebabkan Tsunami terpulanglah kepada amalnya masing-masing kalau baik, baiklah ia, kalau amalnya buruk, maka buruklah ia.

Dipetik daripada:

http://www.brunet.bn/news/pelita/23ogos/menuju.htm

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

 
Free Web Counter
Free Hit Counter